August 01, 2013
Saya menekuni tulisan-tulisan ‘balas’ yang di buat oleh Nasrudin Hassan semalam dan yang terbaru dari Zaharudin Muhammad pada pagi ini. Secara sepintas lalu kedua-duanya seakan memperlekehkan coretan saya buat Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz atau bahasa mudahnya, surat saya tersebut tiada nilainya dan ia ‘dibakul sampahkan’ oleh kedua mereka.
Namun tidak mengapa, yang pastinya semua orang baik kalangan ahli dan penyokong PAS mahupun yang bukan dapat melihat satu perkara yang pasti iaitu memang wujud puak-puak atau team yang bercakaran dalam PAS sekarang ini!
Inilah yang di bimbangi oleh saya dan rasanya inilah yang di bimbangi oleh semua ahli dan penyokong PAS dan respon mereka berdua mengiyakan perkara tersebut.
Walaupun saya di tuduh menabur fitnah dengan susunan ayat yang menarik oleh Nasrudin selaku penceramah yang hebat namun dengan penuh rendah diri dan keinsafan saya ingin meminta semua pihak berlapang dada serta membuka minda dan mata dengan seluas-luasnya berkenaan isu ini.
Yang dikatakan fitnah bertebaran, fitnah makin marak di susuli oleh pelbagai ayat-ayat Al Quran ddan hadis memperingatkan betapa bahayanya fitnah dan celakanya mereka yang menyebarkan fitnah membuatkan semua orang terlupa fitnah yang sebenarnya ialah masalah kedua-dua puak ini!
Baik dari yang di gelar ulamak mahupun profesional. Dua-dua memainkan peranan umpama api dalam sekam, tikam-menikam antara satu sama lain, dalam mesyuarat lain keluar mesyuarat lain pula halnya.
Keputusan mesyuarat belum keluar tapi ‘wassup’ dah lima kali pusing dunia mencari sasaran untuk di war-warkan. Siapakah pelaku ini semua? Mereka inilah dari kalangan yang di gelar ulamak dan profesional dalam jemaah yang kita sayangi ini.
Kalau ada yang melenting marahkan saya mengaitkan Nasrudin dengan Lynas dan juga Nik Abduh dengan gaya hidupnya yang mewah tidak sebanding Tuan Guru, saya pohon kemaafanlah atas teguran tersebut tetapi saya ingin tegaskan di sini bahawa saya tidak sama sekali secara semborono menuduh atau memfitnah mereka berdua.
Walaupun Nasrudin menaip panjang berjela akan alkisah kewangan beliau dan betapa sederhananya penghidupan beliau, saya cuma mampu menggelengkan kepala membaca karangan beliau tersebut. Saya tidak menyangka sampai begitu sekali melalutnya beliau bercerita sebegitu rupa.
Bahkan pengakuan beliau jugak membuka pelbagai persolan baru bagi yang tidak tahu dan menimbulkan rasa loya di tekak mereka yang mengetahui cerita sebenar.
Cukup setakat ini berkenaan isu tersebut, insya Allah selepas raya nanti saya akan berkunjung lagi ke Beserah antaranya bagi menyambung kembali kajian tentang beberapa perkara termasuk berkenaan isu Lynas yang meruntuhkan PAS di sana dan juga isu yang melanda Umno tempohari iaitu isu lembu tetapi bukan NFC tapi lembu korban.
Dan satu lagi saya cuit beliau dengan kontraktor Lynas tetapi di jawab panjang lebar hubungan dengan Lynas. Entahla...
Justeru itu saya sekali lagi merayu kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am PAS untuk bertindak segera atas fitnah besar yang melanda jemaah sekarang ini.
Walaupun ada yang mencerca dan memaki saya atas sebab mendedahkan isu ini di khalayak umum tetapi apa pilihan lagi yang saya ada?
Saya sayangkan jemaah saya dan saya tidak peduli dari team mana sekalipun sekiranya bersalah mereka mesti di hukum dan perkara ini tidak boleh di diamkan dan menunggu sahaja perwakilan membuat keputusan pada muktamar.
Alasannya mudah, sementara menunggu sampai masa muktamar kedua-dua team ini akan terus-menerus bergerak mencari pengaruh dan membina kekuatan sendiri dan akan mengeruhkan lagi keadaan dan ukhuwwah sesama kita.
Lihat sahaja ayat Zaharudin yang terbaru ini, jelas beliau bertegas tidak akan berundur dari pendirian beliau iaitu Khalid Samad dan kumpulannya adalah pengkhianat kepada jemaah. Dan selepas ini Khalid pula mungkin akan bertegas mempertahankan dirinya.
Jadi apa akan jadi kepada kami ahli bawahan ini? Masing-masing akan saling cantas-mencantas antara satu sama lain menjelang muktamar nanti bagi memastikan tiada seteru mereka berada pada tampuk kepimpinan akan datang.
Yang menjadi mangsanya ialah ahli bawahan dan pencinta PAS. Andai kata team Zaharudin yang menang dan menguasai kepimpinan, belum tentu mereka ini betul. Yang betulnya adalah berdasaran kepala otak mereka saja. Begitu jugak dengan Khalid Samad dan pasukannya yang di labelkan sebagai anai-anai, anwarinas, Ikram, JIM dan sebagainya, belum tentu boleh di pakai sebenarnya.
Tetapi yang pastinya kesemua mereka adalah ahli PAS dan wajar kita mempercayai kedua-dua mereka ini mempunyai niat yang sama untuk memperjuangkan dan mempertahankan dasar dan cita-cita PAS. Cuma mungkin cara dan pendekatan yang berbeza.
Di sini perlunya Tuan Guru selaku orang tua parti yang tegas dan berwibawa untuk campurtangan segera memanggil kesemua mereka untuk bersemuka seberapa segera sebelum kawasan-kawasan sibuk bermesyuarat selepas Aidilfitri ini.
Saya mengharapkan agar janganlah kepimpinan membiarkan perkara ini semakin parah. Saya redha di tuduh pembawa fitnah dan sebagainya tetapi Allah Maha Mengetahui niat sebenar saya.
Saya bukanlah membangunkan fitnah yang tidur. Saya cuma menggerakkan orang yang tidur terlalu lena dek kerana kekenyangan berbuka tanpa menyedari api fitnah sudah memakan tilam dan bantal di bawah tiduran mereka.
Saya juga faham besarnya dosa menabur fitnah apatah lagi di malam-malam akhir Ramadan ini tetapi saya berpendirian lebih besar dosa membiarkan fitnah yang membara ini memakan ikhuwwah sesama kita tanpa bertindak apa-apa.
Sama-sama kita berdoa agar Allah memberi petunjuk kepada kita semua, semoga kita bertemu jalan pulang yang sebenarnya. Andainya setelah di beri nasihat dan teguran ada yang masih berdegil, kita serahkan kepada Allah untuk menentukan apa yang terbaik di sisi-Nya untuk yang terlibat. – 1 Ogos, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment