Sunday, August 4, 2013

Respon Kepada Sdr. Zaharudin aka Din Ayam dari Sdr. Lawyer Zulhazmi

Respon kepada Sdr Zaharudin Muhammad

5 August 2013 at 12:20

Dua hari ini gajet saya meriah dengan para wartawan. Mereka ingin mendapatkan maklum balas berhubung status seorang lawyer bernama Zulhazmi yang kononnya membuat laporan disiplin. Laporan itu tidak menepati prosedur dan tidak perlu saya respon. Namun jika ada laporan disiplin yang sah dan saya dirujuk kepadanya, insyaallah saya sedia tampil bersama bukti yang telah saya nyatakan sebelum ini dan saya menegaskan bahawa syaratnya mestilah tindakan diambil. – Zaharudin Muhammad

Kenyataan tersebut ditulis di laman facebook Zaharudin Muhammad pada hari Sabtu 3 Ogos 2013 bersamaan 25 Ramadhan 1434. Saya percaya tulisan tersebut adalah ekoran surat aduan yang telah saya fakskan ke Pejabat Agung Pas Jalan Raja Laut.

Saya ingin memberikan respon kepada kenyataan Sdr Zaharudin Muhammad di atas. Terdapat beberapa isu yang dapat dilihat dan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penyelesaian hadir dari kenyataan beliau.

Pertama : "Mereka ingin mendapatkan maklum balas berhubung status seorang lawyer bernama Zulhazmi yang kononnya membuat laporan disiplin"

Untuk makluman semua pihak termasuk Sdr Zaharudin Muhammad, memang benar saya telah membuat laporan disiplin terhadap beliau yang telah saya fakskan ke Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut pada 2 Ogos 2013. Jadi tiada istilah konon kerana konon itu lebih bermaksud spekulasi. Ini bukan spekulasi, ini bukan cobaan tetapi benar-benar kejadian.

Kedua : "Laporan itu tidak menepati prosedur dan tidak perlu saya respon".

Saya agak keliru dengan kenyataan tersebut. Saya membuat Laporan Disiplin kepada Jawatankuasa Disiplin PAS melalui Setiausaha Agung PAS. Bagaimana pula Sdr Zaharudin yang merupakan subjek aduan tiba-tiba boleh keluarkan pendapat bahawa laporan tidak mengikut prosedur? Daripada beberapa forum private dan juga perbincangan di beberapa laman facebook saya dapati hujah yang dikatakan tidak mengikut prosedur ialah seperti berikut :

a) Laporan dibuat oleh saya atas kapasiti peribadi sedangkan Perlembagaan PAS menyatakan bahawa laporan disiplin boleh dibuat oleh Perhubungan Negeri, Kawasan-kawasan, Cawangan-cawangan dan Dewan-dewan.

Fasal 82 (2) Perlembagaan Pas memperuntukkan seperti berikut :

Sebuah Jawatankuasa Tatatertib hendaklah ditubuhkan di peringkat pusat. Adapun Perhubungan Negeri, Kawasan-kawasan, Cawangan-cawangan dan Dewan-dewan bolehlah melaporkan apa-apa tindakan dan perbuatan ahli-ahli yang didapati melanggar Tatatertib parti kepada Setiausaha Agung atau Pejabat Agung untuk tindakan sewajarnya oleh Jawatankuasa Tatatertib itu.

Perlembagaan PAS adalah suatu perlembagaan yang diwujudkan dan tertakluk kepada undang-undang Malaysia kerana PAS ditubuhkan dan didaftarkan melalui Akta Pertubuhan. Justeru Perlembagaan PAS perlu ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia.

Fasal 82 (2) Perlembagaan Pas menyebut bahasa Perhubungan Negeri, Kawasan, Cawangan dan Dewan "bolehlah". Kata kuncinya di sini ialah "bolehlah" yang membawa maksud tidak wajib. Maka jika laporan dibuat oleh individu ahli Pas atas kapasiti peribadi, ianya tidak melanggar Perlembagaan dan tidaklah menjadikan laporan tersebut tidak mengikut prosedur. Jika laporan hanya boleh dibuat oleh Perhubungan Negeri, Kawasan, cawangan dan Dewan sahaja maka perkataan yang perlu digunakan di dalam Fasal 82(2) tersebut ialah perkataan "hendaklah".

Justeru untuk mengatakan bahawa laporan saya tidak mengikut prosedur adalah tidak tepat.

b) Laporan dibuat kepada Jawatankuasa Disiplin iaitu suatu Jawatankuasa yang tidak wujud.

Saya bersetuju bahawa nama "Jawatankuasa Disiplin PAS" tidak wujud dalam Perlembagaan Pas kerana jawatankuasa yang mengendalikan hal-ehwal disiplin parti ialah "Jawatankuasa Tatatertib" seperti yang disebut dalam Fasal 82(2) di atas. Saya berpendapat bahawa perkataan "disiplin" dan "tatatertib" adalah suatu perkataan yang memberikan gambaran yang sama. Jika atas sebab salah perkataan atau terma ini sahaja menyebabkan laporan saya ditolak dan dibakulsampahkan, saya percaya PAS tidak ada hak juga untuk memarahi atau mempertikaikan Mahkamah menolak petisyen-petisyen pilihanraya yang difailkan oleh PAS atas sebab teknikal. Walau bagaimana pun, untuk mengelakkan laporan tersebut ditolak atas sebab terma teknikal ini, saya akan menghantar sesalinan laporan yang baru dengan terma yang betul InsyaAllah.

c) "Saya tidak perlu respon"

Dalam keadaan beliau sebutkan beliau tidak perlu respon, beliau meneruskan kenyataan bahawa jika laporan itu sah, beliau bersedia untuk tampil bersama bukti dan menegaskan dengan syarat tindakan mesti diambil. Saya teruja dengan komen beliau. Nampaknya beliau memang suka nak komen dan mulut tidak boleh diam.

Ketiga : "insyaallah saya sedia tampil bersama bukti yang telah saya nyatakan sebelum ini"

Untuk makluman semua, saya mengambil keputusan membuat laporan disiplin terhadap Sdr Zaharudin Muhammad adalah ekoran kenyataan terbuka beliau samada melalui facebook beliau atau yang telah dimuatnaik di laman portal berita yang menyebut bahawa terdapat usaha sabotaj parti semasa PRU-13 dan cubaan menjatuhkan kredibiliti Presiden serta Timbalan Mursyidul Am. Berdasarkan kenyataan beliau tersebut saya percaya beliau mempunyai bukti dan Alhamdulillah beliau sekali lagi mengulangi bahawa beliau "sedia tampil bersama bukti". Justeru saya syorkan kepada Sdr Zaharudin dan juga pengikut-pengikut serta penyokong-penyokong beliau agar usah gusar usah risau jika anda di pihak yang benar. Anda mempunyai bukti, apa yang perlu ditakutkan? Apa yang perlu dirisaukan dengan memberikan alasan tidak perlu respon kerana laporan tidak mengikut prosedur? Sabar dan tunggulah masa dan ketikanya.

Sekali lagi saya ingin menarik perhatian semua kepada komen beliau bahawa beliau akan tampil bersama bukti. Saya hairan dan pelik dengan tindakan dan/atau perangai Sdr Zaharudin Muhammad ini. Beliau sebutkan berkali-kali bahawa beliau mempunyai bukti ada usaha sabotaj parti, ada usaha untuk jatuhkan kredibiliti Presiden dan Timbalan Mursyidul Am. Persoalan saya kepada beliau dan pengikut serta penyokong beliau ialah jika benar beliau ada bukti, kenapa tidak beliau gerakkan Perhubungan Negeri beliau, kawasan yang beliau terlibat, cawangan yang beliau aktif atau Dewan yang beliau wakili untuk membuat laporan tatatertib mengikut prosedur dan hadapkan pihak-pihak yang menjalankan usaha sabotaj dan menjatuhkan kredibiliti Presiden dan Timbalan Mursyidul Am ke Jawatankuasa Tatatertib, beliau kemukakan bukti kepada Jawatankuasa Tatatertib agar pihak-pihak terbabit diambil tindakan tatatertib. Kenapa beliau tidak lakukan perkara tersebut sebaliknya beliau dan rakan-rakan pengikut serta penyokong aliran beliau menggunakan platform parti seperti Ijtima' Tarbawi, Liqa' Fikri dan Ijtima' Badar untuk menyebarkan dakyah bahawa ada unsur sabotaj dan usaha menjatuhkan kredibiliti ini.

Terbaru di Majlis Ijtima' Badar di Pahang sehingga keluar mesej melabel sesetengah pimpinan mempraktikkan Islam Liberal dan perlu dijatuhkan semasa Muktamar Tahunan hingga menyebabkan keluarnya "Surat Terbuka kepada Tok Guru Nik Aziz" yang disiarkan di laman-laman portal berita. Adakah ini cara seorang yang digelar ulamak muda yang menganggotai Majlis Syura PAS yang menjadi badan tertinggi rujukan PAS? Beliau ada bukti tetapi tidak mahu ambil tindakan sebaliknya bergerak ke sana ke sini kononnya dengan bukti-bukti beliau menyebutkan ada unsur sabotaj dan sebagainya. Kaedah feqah apa yang beliau gunakan untuk melakukan perkara ini? Jika ahli-ahli di bawah selalu diterapkan dan diarahkan jika ada sesuatu perkara perlulah mengikut saluran tetapi orang atasan tidak perlu ikut saluran, boleh saja ke sana ke sini sebarkan dakyah kononnya ada bukti itu dan ini.

Keempat : "saya menegaskan bahawa syaratnya mestilah tindakan diambil"

Pada akhir komen beliau menyebut seperti yang dinyatakan di atas. "Syaratnya mestilah diambil tindakan". Komen ini bagi saya amat tidak wajar dan tidak patut dikeluarkan di khalayak lebih-lebih lagi oleh seorang Ahli Majlis Syura Ulamak PAS. Kenapa saya mengatakan begitu?. Apabila beliau nyatakan bahawa "dengan syarat mestilah diambil tindakan" ini menimbulkan lebih banyak spekulasi dan persepsi bahawa mungkin ada sebelum-sebelum ini laporan yang dibuat kepada Jawatankuasa Tatatertib tetapi tidak diambil tindakan. Kenyataan tersebut secara tidak langsung mempertikaikan dan menjatuhkan kredibiliti Jawatankuasa Tatatertib. Dengan kenyataan tersebut juga memberikan persepsi bahawa Jawatankuasa Tatatertib adalah sebuah Jawatankuasa yang gagal berfungsi dengan baik.

Saya difahamkan bahawa Sdr Zaharudin Muhammad adalah seorang ahli Majlis Syura Pas iaitu sebuah badan tertinggi yang menentukan dasar dan hala tuju PAS. Jika dengan cara dan tingkahlaku serta kenyataan-kenyataan beliau sebeginilah, saya percaya bahawa ianya dengan secara langsung, mencemarkan imej Majlis Syura Ulamak PAS. Majlis Syura yang sepatutnya menjadi sumber rujukan dalam setiap perjalanan parti mempunyai seorang ahli yang mulutnya tidak tahu diam. Majlis Syura Ulama yang menjadi institusi ulung PAS yang menentukan dasar dan hala tuju PAS mempunyai seorang ahli yang mempunyai bukti kejahatan dan anasir-anasir tidak baik di dalam PAS seperti unsur sabotaj dan Islam Liberal tidak melakukan apa-apa tindakan sebaliknya lebih rela menyimpan untuk diri sendiri daripada merujuk pihak-pihak tersebut untuk diambil tindakan agar PAS tidak dimusnahkan oleh anasir-ansir tersebut.

Hadith Nabi SAW : "Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mencegah dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah Iman". - [Di riwayatkan oleh Imam Muslim]. Adakah Sdr Zaharudin mengambil pendekatan terakhir iaitu dengan hati sedangkan beliau adalah seorang yang mempunyai otoriti sebagai Ahli Majlis Syura. Sepatutnya beliau mencegah dengan tangan (kekuasaan) iaitu membuat laporan kepada Jawatankuasa Tatatertib.

Kesimpulannya, saya merasakan bahawa laporan disiplin yang saya lakukan telah membuka lebih banyak persoalan tentang siapa Sdr Zaharuddin Muhammad sendiri. Saya amat percaya bahawa sebelum ini tiada siapa yang mengenali Ahli Majlis Syura, apa itu Majlis Syura tetapi sekarang dengan kelancangan Sdr Zaharudin membuat kenyataan terbuka di sana sini akan memberikan kesan negatif kepada Institusi Majlis Syura malah sehingga suatu ketika majlis Syura akan dipertikaikan dan tidak dihormati. Saya menyeru dengan rendah hati bahawa laporan atau aduan saya perlu diteliti meritnya dan diambil tindakan sewajarnya demi menjaga nama baik PAS lebih-lebih lagi Majlis Syura Ulamak PAS.

Zulhazmi Shariff 27 Ramadhan 1434

No comments:

Post a Comment