Monday, September 16, 2013

Apakah Harun Taib hanya ingin PAS jadi pembangkang sampai kiamat?

Oleh– Shahbudin Husin
   
Sudah banyak yang ditulis mengenai keputusan Multaqa Ulama PAS yang antara lainnya memutuskan supaya dikaji semula tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan Pakatan Rakyat terutama PKR yang dianggap merugikan parti itu. Kekurangan sokongan pengundi Melayu, isu Kota Damansara dan pertindihan di Labuan dalam pilihanraya umum lalu, menjalarnya elemen Anwarisme dalam PAS dan berbagai lagi dijadikan sandaran sebagai justifikasi kepada perlunya kajian itu.

Ketua Dewan Ulama PAS, Harun Taib lantas turut diserang dan dilabel dengan pelbagai gelaran berikutan pengumuman ini dianggap meletakkan ulama PAS seolah-olah tidak memahami realiti masyarakat di negara ini, mempunyai pemikiran gaya lama, tidak terbuka dan berbagai lagi.

Dalam PAS sendiri terlihat reaksi yang berbagai. Rakyat yang mahukan perubahan pula jelas tidak gembira dengan keputusan itu. Umno pula mungkin tersenyum lebar kerana Dewan Ulama seolah-olah suara parti itu dan menjadi "trojan horse" terbaru selepas Nasharudin Mohd Isa dan Dr Hassan Ali yang begitu anti dengan PKR dan Anwar Ibrahim.

Ini berbeza dengan Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat yang yang jelas memahami bahawa perjuangan politik PAS, selain daripada dakwah, perlu juga bermatlamatkan kuasa, lantas mengatakan kajian itu seharusnya untuk menambah baik lagi kerjasama yang terjalin dengan rakan-rakan dalam PR dan bukannya untuk mundur ke belakang.

Beliau juga mengatakan bahawa PAS wajib melangkah ke hadapan dengan memahami keadaan politik di Malaysia dan mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik untuk masyarakat majmuk selagi tidak melanggar hukum dan syariat serta tidak mengurung diri dalam pemikiran yang dicipta sendiri.

Jelas bahawa Nik Aziz berbeza dengan Harun Taib. Kewarakan dan ilmu Nik Aziz sesuai dengan keperluan politik Malaysia walaupun dari segi zahirnya beliau kelihatan tua dan mempunyai stail lama. Sambil mempertahankan hukum dan syariat, Nik Aziz bergerak komtemporari dan selari dengan zaman. Sebab itu, di antara sekian ramai pemimpin PAS, Nik Aziz bukan saja disukai oleh golongan lama dan tua, bahkan golongan muda lebih ramai yang tertarik kepadanya.

Memang wujud golongan dalam masyarakat seperti NGO, pensyarah atau ahli akademik yang menyarankan supaya PAS berjuang bersendirian dan meninggalkan rakan-rakan dalam PR kononnya agar lebih dihormati oleh pengundi Melayu dan Islam dengan pelbagai hujah dan alasan. Nampak macam mereka turut berjiwa Islam dan menyokong ketulenan PAS tetapi sebenarnya mereka inilah golongan yang mahu melihat Umno dan BN kekal berkuasa sampai bila-bila.

Mereka tahu apabila PAS boleh bekerjasama dengan parti dan kaum lain, ia adalah petanda awal bahaya kepada Umno dan BN.

Dalam realiti masyarakat negara ini, PAS tidak boleh mengelak untuk berkerjasama dengan parti-parti lain dari berbagai kaum. Ia sama seperti Umno tidak mungkin mampu berkuasa tanpa bantuan MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya. Mungkin hubungan dengan PKR ada masalahnya tetapi ia belumlah menjadi barah atau kecncing manis yang serius sehingga perlu dipotong kaki dan sebagainya.

Kekurangan sokongan pengundi Melayu dan kurangnya kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PAS bukanlah disebabkan kerjasama dengan PKR atau penolakan rakyat terhadap kerjasama itu tetapi kerana kebanyakan kerusi yang ditandingi PAS musuhnya ialah Umno. Umno pula sebagai teras kerajaan mempunyai lebih keupayaan dari segi wang, jentera dan sebagainya untuk mengalahkan PAS.

Berbeza dengan pengundi bukan Melayu, pengundi Melayu majoritinya masih terkepung, totok dan tidak terbuka, terutama yang tinggal di kampung-kampung. Golongan ini dapat sekampit beras, kain batik dan kain pelikat pun akan menyokong Umno dan mengundi BN sampai mati. Mereka ini tidak tahu isu, tidak faham rasuah, jauh sekali untuk faham skandal Scorpene dan rasuah RM500 juta. Yang mereka faham Umno itu kerajaan dan kerajaan itu Umno, dan pihak inilah yant selama ini membina sekolah, jalan, kemudahan awam dan lain-lain.

Golongan ini juga mudah ditakut-takutkan dengan DAP yang dikaitkan dengan komunis, sentiasa dilagukan bahawa Cina akan berkuasa jika Umno kalah, kembali kepada zaman makan ubi kayu dan macam-macam lagi kempen ciptaan yang menakutkan.

Di sinilah cabaran PAS sebenarnya yang menyebabkan ia kalah banyak kerusi, bukan kerana kerjasama dengan PKR merugikan dan menyebabkannya hilang banyak kerusi. Tetapi keadaan ini akan beransur-ansur lupus apabila golongan totok ini makin berkurangan, kemajuan semakin datang, celik maklumat bertambah dan bandar-bandar baru lebih banyak diwujudkan.

Dalam hal ini, Dewan Ulama yang sepatutnya lebih memahami Islam haruslah bersabar dan tidak melihat faktor rugi semata-mata. Sambil melihat kerugian, mereka juga harus melihat apa untungnya tahaluf siyasi itu seperti semakin banyaknya kerusi – yang selama ini begitu asing – kini sudah boleh dimenangi seperti di Selangor, Pahang dan Johor. Bahkan di Selangor, yang dulunya asing bagi PAS, kini mereka sudah memperolehi jumlah kerusi majoriti.

Dengan adanya kerjasama politik bersama PR, PAS juga akan menerima lebih sokongan daripada pengundi celik di bandar yang berpendidikan serta golongan muda. Mereka ini mahu kepada Islam tetapi Islam yang dikehendaki mereka ialah Islam yang terbuka, kontemporari dan boleh bergaul serta menerima golongan lain. Golongan ini amat meminati Nik Aziz yang mempunyai pemikiran selari dengan mereka.

Dalam PAS meneroka hari-hari mendatang, walaupun Dewan Ulama ini hanyalah sekadar sayap dalam PAS, mereka seharusnya juga membuat keputusan yang mengambil kira demografi politik, masyarakat, keuntungan jangka panjang, keterbukaan dan seumpamanya. Haruslah disedari bahawa Malaysia bukanlah macam Kelantan atau Terengganu yang hampir seratus-peratus pengundinya Melayu dan Islam.

Kerjasama politik dengan parti-parti lain sudah menjadi suatu keperluan. Masalah haruslah dihadapi dan diselesaikan dengan perundingan serta lapang dada, bukannya dengan mencampak aturcara rundingan ke dalam sungai. Pendirian Dewan Ulama dan kepimpinan Harun Taib mungkin sudah ketinggalan dengan jalur zaman. Ia tidak sesuai dengan realiti semasa dan hakikat di Malaysia.

Lainlah jika PAS hanya ingin jadi pembangkang saja sampai kiamat.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment