Nasrudin Hassan
1. Sebentar tadi saya menerima e -mail dari seorang rakan yang merujuk
saya kepada artikel bertajuk "Kebangkitan Pengaruh Menantu, Kali ini
dalam PAS" oleh Amin Iskandar seorang pengarang berita di portal The
Malaysian Insider.
2. Saya melihat artikel itu sarat dengan spekulasi yang mencetus fitnah.
Ia dilihat sengaja dicetus untuk membantu pihak yang mahu menjatuhkan
Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang lalu merosakkan kredebiliti ulama'
tersohor yang kini sedang menerajui kepimpinan PAS. [Sebab itu gambar
Tuan Guru Hj Abdul Hadi menjadi penghias artikel dan nama Tuan Guru juga
di serlahkan dengan ketara.] Saya memilih untuk respon artikel itu
kerana nama saya turut diseret dalam spekulasi yang menumbuhkan fitnah
rekaan pengarangnya.
3. Tiba - tiba sahaja nama Al Fadhil Ustaz Zaharudin Mohamad menjadi hit
dan diperkenalkan kepada umum sebagai menantu kepada Tuan Guru Presiden
PAS, sedang menurut perspektif saya bahawa Ustaz Zaharudin Mohamad
adalah seorang yang sangat low profile, justeru itu ia tidak dikenali
umum sebelum daripada ini. Bahkan bukan beliau sahaja yang berstatus
menantu kepada pemimpin utama jamaah PAS malah ramai lagi yang pernah
berstatus menantu kepada pemimpin utamanya sebelum ini malah ada yang
berstatus anak kepada pemimpin utama. [saya tidak perlu
menyenaraikannya]
4. Secara umumnya, semua bapa dan mertua akan berbangga dengan kehebatan
anak dan menantu mereka. Sementelah anak dan menantu mereka aktif
memperjuangkan Islam bersama jamaah. Malah menjadi idaman setiap bapa
dan mertua yang berjuang menegakkan Islam untuk memiliki anak dan
menantu yang hebat serta mempunyai karisma kepimpinan yang hebat juga
dalam perjuangan suci ini.
5. Tambahan pula Islam tidak memandang salah pertalian anak dan menantu
yang turut berintima' dalam Gerakan Islam lantas bergandingan dengan
seluruh anggota jamaah yang lain untuk memperjuangkan Islam. Saidina Ali
Karramallahu Wajhah antara contoh menantu Nabi saw yang sangat hebat
dalam sejarah Islam, berjuang dan mengisi saff kepimpinan ummah di
belakang Nabi saw. Sebagaimana Saidina Abu Bakar As Siddiq Rha sebagai
bapa mertua Nabi saw. yang juga hebat berjuang dan mempertahankan Nabi
saw. [ Malah kesemua sahabat Khulafa' Ar Rasyidin mempunyai hubungan
mertua dan menantu dengan Nabi saw. dan menduduki posisi kepimpinan
utama sejak zaman hidupnya Nabi saw. ]
6. Perkara yang menjadi kesalahan ialah apabila berlaku penyelewengan
serta penyalahgunaan kuasa dan ini perlu dibuktikan apabila berlaku
dakwaan. Bukan sahaja anak dan menantu, malah mereka yang tidak berbau
bacang pun, jika melakukan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa
mestilah dibuktikan apabila terdapat dakwaan dan jika sabit kes maka
tindakan sewajarnya mesti diambil.
7. Pengarang artikel kebangkitan pengaruh menantu ini cuba mengaitkan
Ustaz Zaharudin Mohamad seperti Khairy Jamaludin dalam UMNO yang
kononnya menjadi faktor kejatuhan pemerintahan Pak Lah Badawi. Teori
konspirasi itu berlaku dan digerak kuat oleh Tun Dr. Mahathir untuk
menjatuhkan Pak Lah dengan memukul Khairy habis - habisan bagi membantu
Najib menaiki takhta pucuk kepimpinan BN. Akhirnya Pak Lah terpaksa
mengalah dan berundur lalu menyerahkan kuasa kepada Najib. Ironinya,
apabila Najib berkuasa dan mendapat mandat baru melalui pilihanraya ke
13 sebagai Perdana Menteri Malaysia, Khairy kini dilantik menjadi
Menteri Belia dan Sukan.
8. Ertinya kejatuhan Pak Lah adalah faktor kelemahan dirinya sendiri dan
Khairy bukanlah sasaran sebenar. Realiti ini dapat dilihat sejak awal
selepas peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib, Khairy tidak lagi menjadi
papan sasar mana - mana pihak dalam UMNO mahupun dari pihak Tun Mahathir
sendiri. Kerana matlamat utama mereka hanya mahu menjatuhkan Pak Lah
dan Pak Lah sudah jatuh. Maka tidak mengapa Khairy terus mengukuhkan
penguasaan dan kedudukan politiknya dalam UMNO dan BN.
9. Jika teori konspirasi ini diguna dan dimaksudkan oleh Amin Iskandar
sebagai main point dalam artikel Kebangkitan Pengaruh Menantu, ertinya
Ustaz Zaharudin Mohamad bukanlah sasaran utama tetapi sebaliknya Tuan
Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS sebagai sasaran mereka.
Persoalannya siapakah yang menyasarkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi ?
10. Saya tidak percaya Tuan Guru Hj Abdul Hadi lemah sebagaimana Pak Lah
walaupun telah wujud sebelum ini percubaan yang dilakukan oleh individu
tertentu untuk melabelkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi adalah Pak Lah versi
PAS. Sekali lagi saya kira tiada ahli PAS yang celik Gerakan Islam
percaya dan menerima label yang diberi sedemikian rupa. Sebab itu
percubaan tersebut bukan sahaja gagal tetapi terus lenyap ditelan jerebu
yang melanda negara.
11. Apabila timbul isu kebangkitan pengaruh menantu ini dan percubaan
menyamakan ustaz Zaharudin Mohamad seperti Khairy dalam UMNO membuatkan
saya tertanya - tanya dan tercari - cari siapa yang berperanan sebagai
Tun Mahathir untuk memukul Ustaz Zaharudin seperti Tun Mahathir pukul
Khairy dahulu ? dan siapa pula yang akan mengambil tempat Datuk Seri
Najib untuk dinaikkan kalau mereka berjaya menjatuhkan Tuan Guru Hj
Abdul Hadi kelak ?
12. Saya berdoa dan bermunajat kepada Allah swt agar jamaah ini
dipelihara olehNya dari musibah dan porak peranda sedemikian rupa.
Semoga mereka yang membangkitkan fitnah dan meniup segarkan fitnah itu
dikurniakan petunjuk oleh Allah swt. Saya menafikan setiap spekulasi
yang dikemukakan oleh Amin Iskandar dalam artikelnya dan ia adalah satu
tanggapan salah jua merupakan satu fitnah.
13. Saya mengharapkan beliau menarik balik spekulasi yang beliau
kemukakan kerana ia tidak berasas. Saya tidak tahu siapa yang salurkan
maklumat sedemikian kepada beliau sedang beliau bukanlah pimpinan PAS
yang boleh akses maklumat dalaman jamaah. Jika itu maklumat dipungut
dari jalur internet atau ada individu tertentu yang salurkan maklumat
kepada beliau, sekali lagi saya nafikan bahawa ia adalah suatu yang
benar sebaliknya ia adalah salah jua tohmahan dan jika Amin Iskandar
ingin meneruskan spekulasinya, beliau boleh dan mesti mengemukakan
bukti. Jika tidak, ia kekal sebagai fitnah.
Nasrudin bin Hassan
No comments:
Post a Comment