July 27, 2013
Sebelum Pilihan Raya 2013, nama Zaharudin Muhammad, menantu kepada Datuk
Seri Abdul Hadi Awang (gambar) tidak begitu dikenali oleh masyarakat
umum kecuali bagi mereka yang aktif dalam PAS.
Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Syura Ulama PAS pada 2011 dan
sebagai Ketua Jabatan Agama di syarikat milik kerajaan negeri Selangor,
Kumpulan Perangsang Selangor Berhad pada 2012.
Zaharudin dikatakan akan memainkan peranan besar dalam pemilihan PAS
akhir tahun ini dimana terdapat gerakan untuk menyingkirkan golongan
profesional atau “Erdogan” – sempena nama Perdana Menteri Turki Recep
Tayyib Erdogan daripada kepimpinan tertinggi parti Islam itu untuk
digantikan dengan golongan ulama.
Golongan profesional yang diketuai oleh Timbalan Presiden Mohamad Sabu
mempunyai satu kekurangan oleh kerana hampir semua kalah dalam Pilihan
Raya 2013 lalu.
Selain Mohamad yang kalah di kerusi Parlimen Pendang, Salahuddin Ayub
tewas dikedua-dua kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Nusajaya. Datuk Husam Musa kalah di kerusi Parlimen Putrajaya tetapi
menang di kerusi DUN Salor.
Bagaimanapun, Husam tidak dilantik semula sebagai Exco kerajaan negeri
Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar baru Datuk Ahmad Yakob. Dr
Dzulkefly Ahmad pula kalah di Parlimen Kuala Selangor.
"Ini memberikan peluang besar kepada Zaharudin dan golongan yang tidak
gembira dengan penguasaan profesional dalam PAS untuk menang," kata satu
sumber dari kepimpinan tertinggi PAS kepada The Malaysian Insider.
“Tambahan lagi sekutu Zaharudin seperti Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan
dan timbalannya Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz kedua-duanya menang di
kerusi Parlimen Temerloh dan Pasir Mas. Nasrudin dikatakan terhutang
budi dengan Zaharudin oleh kerana usahanya melobi Abdul Hadi agar
membuat pengumuman “mengejut” pencalonannya di kerusi Temerloh yang
sebelum itu milik calon PKR Ahmad Nizam Hamid," katanya.
Isu Kota Damansara
Zaharudin yang dikenali sebagai Din Ayam itu disalahkan kerana kerusi
DUN Kota Damansara - sebelum ini disandang oleh Dr Nasir Hashim pada
Pilihan Raya 2008 jatuh ke Barisan Nasional (BN) apabila PAS turut sama
bertanding melawan calon PKR, Umno dan tiga lagi calon bebas.
Hasilnya calon BN, Halimaton Saadiah mendapat 16,387 undi dan menang
dengan majoriti 1527 undi di Kota Damansara mengalahkan kesemua calon
yang bertanding.
Jika dihitung undi yang diterima oleh Nasir 14,860 dan calon PAS Rizuan
Ismail 7312, dengan mudah calon PR boleh menang besar dengan 22,172
undi.
Sumber dalaman PAS Selangor memberitahu The Malaysian Insider Zaharudin
menggunakan latarbelakang sosialis Nasir sebagai alasan untuk
mempengaruhi Abdul Hadi menandatangani watikah Rizuan walaupun Datuk
Mustafa Ali yang mengepalai PAS dalam rundingan kerusi antara parti PR
sudah bersetuju Presiden PSM itu sebagai calon Kota Damansara dengan
menggunakan tiket PKR.
“Bila Nasir menang atas tiket PKR pada 2008, Zaharudin yang menetap di
seksyen 8 Kota Damansara tak berpuas hati. Katanya Nasir tidak cukup
Islam, tidak selalu di masjid dan memuja Karl Marx, Vladimir Lenin dan
Joseph Stalin yang merupakan tokoh-tokoh komunis,” kata sumber itu
kepada The Malaysian Insider dengan syarat namanya dirahsiakan.
“Mustafa Ali terpaksa turun ke Kota Damansara berceramah bersama Dr
Nasir untuk jelaskan kedudukan sebenar kepada orang ramai akan tetapi
program itu diboikot oleh PAS kawasan,” tambah beliau merujuk kepada
Setiausaha Agung PAS.
Semasa kempen Pilihan Raya 2013, Abdul Hadi menyelar calon PKR yang
dikatakan bermahzab sosialis walaupun tidak menamakannya secara terbuka.
“Ada calon yang menjulang gambar Lenin, gambar Stalin. Macam mana orang PAS nak sokong?
“Orang PAS kerjasama dengan Keadilan … dengan DAP je. Tak kerjasama
dengan parti Lenin, parti Stalin,” kata beliau merujuk kepada pemimpin
komunis Rusia, Vladimir Ilyich Lenin dan Joseph Stalin dalam sebuah klip
video di Youtube.
Abdullah-Khairy
Isu Zaharudin ini mengingatkan kita tentang kisah bekas perdana menteri
Tun Abdullah Badawi yang dikatakan dipengaruhi dengan kuat dalam
pelbagai perkara oleh menantunya, Khairy Jamaluddin semasa memimpin
Malaysia.
Khairy disalahkan oleh pembesar-pembesar Umno yang rapat dengan seorang
lagi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana dikatakan
menjadi punca BN gagal mengekalkan majoriti tradisi dua pertiga di
Parlimen pada Pilihan Raya 2008 dan kehilangan penguasaan terhadap
beberapa negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah selain
gagal merampas Kelantan.
Akibatnya, Abdullah terpaksa bersara lebih awal pada 3 April 2009 untuk
memberikan laluan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikannya.
Abdullah kini sudah bersara daripada politik Malaysia akan tetapi Khairy
masih bertapak sebagai Ketua Pemuda Umno dan dilantik sebagai menteri
belia dan sukan selepas Pilihan Raya 2013.
Pilihan Raya 2013 juga menyaksikan keputusan merosot PAS apabila hanya
mendapat 21 kerusi Parlimen berbanding 23 yang mereka perolehi pada
2008. Rakan-rakan PR lain DAP dan PKR masing-masing mendapat 38 dan 30
kerusi pada 5 Mei lalu.
Negeri Kedah yang dikuasai PAS pada 2008 juga tumbang pada 2013 dan
kedegilan Abdul Hadi yang tidak mahu menggantikan Tan Sri Azizan Razak
dengan nama lain sebagai calon menteri besar negeri jelapang padi itu
dikatakan menjadi penyumbang utama kekalahan.
Apakah isu menantu Abdul Hadi ini akan turut menjadi punca kejatuhan Ahli Parlimen Marang itu?
Setakat ini masih belum nampak kerana kuatnya pengaruh Abdul Hadi yang
dianggap sebagai ulama berpengaruh dalam parti Islam itu. - 27 Julai,
2013.
No comments:
Post a Comment