Tuesday, July 30, 2013

KP PAS Menjawab Tulisan Mohamad Abdullah - Fitnah Semakin Marak


1. Terdapat satu artikel di The Malaysian Insider yang entah dari siapa tetapi menggunakan nama Mohamad Abdullah, melemparkan fitnah kepada saya dan Yb Ustaz Nik Mohd Abduh. Penulis mengemukakan surat terbuka kepada Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat al Mursyidul Am PAS, kononnya saya mendapat dana dari Kontraktor Lynas. Penulis pun sebut "dimaklumkan ...." soalnya siapa yang memaklumkan perkara itu kepada beliau?

2. Saya telah mengisytiharkan harta. Saya menyertai pilihanraya baru - baru ini dengan wang sejumlah yang telah saya isytiharkan sebelum dibantu oleh rakan - rakan. Wang deposit pilihanraya sejumlah RM15K tu pun dibayar oleh YDP PAS Kawasan. Jika tidak, hilang kelayakkan saya untuk bertanding.

3. Selepas pilihanraya , saya mengerjakan umrah atas pembiayaan An Nuur Travel kerana dalam masa yang sama saya bertugas sebagai mutawwif kepada ahli jamaah An Nuur Travel. Ertinya kehidupan saya sebelum dan selepas pilihanraya , dari dulu sehingga sekarang adalah serupa.

[ cuma akan datang terasa juga nak pakai MPV sebuah sebab anak dah 6 orang, dah tak muat kami nak naik berlapan sumbat masuk dalam kereta. Maklumlah Ahli Parlimen dapat AP kan, hu hu .... tengoklah macam mana , sebab Hyundai Trajet yang saya guna tu insyaallah saya akan wakafkan buat perjuangan ini dan buat masa ini akan dijadikan kenderaan rasmi Pusat Komuniti Parlimen Temerloh. ]

4. Saya sangat mengalu - alukan jika benar Lynas nak bagi dana kepada saya, silakan ... saya terima dengan terbuka , [ pendirian saya ini tidak bermakna saya sokong Lynas] kerana kami sangat memerlukan wang bagi membantu rakyat di Temerloh. Demikian juga kalau ada orang - orang UMNO mahu menghulurkan sumbangan, kami terima dengan terbuka. Temerloh mempunyai berpuluh pusat pengajian Islam, ramai ibu tunggal, anak yatim dan mereka yang tidak bernasib baik. [ pendirian saya ini tidak bermakna saya sokong UMNO ]
Kami juga menerima wang "riba" yang dihendak dikeluarkan dari akaun masing - masing kerana banyak terdapat jalan - jalan kecil di kampung yang perlu diturap, tetapi kami tiada wang dan peruntukan untuk membantu rakyat.

5. Sebagaimana juga saya selaku Ahli Parlimen, dibayar gaji oleh kerajaan pimpinan UMNO dan BN, saya terima gaji itu bukan bermakna saya sokong pimpinan UMNO.

6. Buat masa ini saya ke hulu dan ke hilir mencari dana kebajikan rakyat Temerloh. Rata masjid dan surau saya jelajah menyampaikan tazkirah sambil buka peluang kepada orang ramai berbakti bagi mendapatkan sumbangan untuk Dana Kebajikan Temerloh. Saya menulis dan jual buku untuk isi poket. Prinsip saya, ada duit insyaallah kita agih kepada mereka yang memerlukan di Parlimen Temerloh ini dan jika tiada duit, kita duduk diam - diam, jangan merungut sebaliknya banyakkan berdoa kepada Allah swt. mohon murahkan rezeki.

7. Tidak ketinggalan api fitnah turut dipercikkan kepada sahabat saya Yb Ustaz Nik Mohd Abduh sebagai seorang yang mengamalkan gaya hidup mewah. Sedang siapa jua yang rapat dan mengenali beliau akan mengetahui bahawa, sehingga kini beliau yang telah berkeluarga dan mempunyai 8 cahaya mata, masih tinggal sebumbung di teratak sederhana bersama ayahandanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

8. Kebiasaannya bagi pasangan anak dan menantu, apabila mereka telah mempunyai keluarga sendiri dan beranak pinak, mereka akan mencari kediaman mereka sendiri secara berasingan. Banyak faktor yang mendorong sedemikian. Tetapi tidak kepada Yb Ustaz Nik Mohd Abduh. Saya masih ingat kata - kata beliau kepada saya apabila saya bertaaruf secara tidak langsung sebagai seorang sahabat seperjuangan . Beliau menyebut :

"Semua orang berbangga dengan ayah ana sebagai Tok Guru, sedang Tok Guru tu ada dalam rumah ana, macam mana ana nak keluar tinggal di tempat lain ! .... Ana nak didik anak - anak ana supaya melihat sendiri secara praktikal cara hidup datuknya seorang tok guru. Anak ana sedang membesar, ana pula banyak masa di luar ... elok sangatlah ana tinggal bersama ayah untuk memberi peluang kepada anak - anak terdidik dengan cara hidup seorang ulamak besar bergelar Tok Guru sebagaimana yang pernah ana alami semasa kecil - kecil dulu."

9. Kenyataan beliau memang menimbulkan rasa cemburu di hati kita yang tak ada Tok Guru dalam rumah kita kecuali televisyen dan komputer yang banyak didampingi oleh anak - anak kita.

10. Apa yang saya nak sebut ialah bagaimana mereka memfitnah kononnya Yb Ustaz Nik Mohd Abduh mengamalkan gaya hidup mewah kalau tempat tinggal pun masih berkongsi rumah dengan orang tua. Sementara yb - yb lain berlumba - lumba mendirikan rumah sebesar mahligai. Kenapa penulis tidak menimbulkan isu pemimpin yang jelas terang lagi berlampu hidup dalam kemewahan ? atau sememangnya pena diasah tajam untuk mensasarkan Yb Ustaz Nik Mohd Abduh sahaja ?

11. Kononnya itu adalah surat terbuka buat Tuan Guru Nik Abdul Aziz tetapi realitinya sedang memfitnah ahli keluarga Tuan Guru sendiri sedang anakanda beliau yang dituduh mengamalkan kehidupan mewah tinggal serumah dengan beliau.

12. Kelihatan game semakin menarik selepas ini. Scud jenis apa pula akan dilancarkan selepas ini kepada saya dan rakan - rakan termasuk DPPM. Sekali lagi saya ambil pendekat berdoa kepada Allah swt supaya mereka insaf dan segera berhenti dari menabur fitnah dan membunuh karakter sedemikian rupa. Apa untung nak bunuh karakter saya ? saya hanya insan biasa .
Nasrudin bin Hassan

Monday, July 29, 2013

Surat terbuka untuk Tuan Guru Nik Aziz - Mohamad Abdullah

July 29, 2013
Latest Update: July 30, 2013 01:11 am

Saya selaku ahli PAS ingin menyuarakan rasa kecewa dan marah atas insiden terbaru yang melibatkan kepimpinan tertinggi PAS yang sewajarnya memaparkan akhlak dan pekerti berjemaah yang tinggi selaku teladan bagi ahli dan masyarakat umum.

Insiden ini rentetan dari Ijtima' Badar anjuran Dewan Pemuda Pas Pahang di Temerloh pada 27 Julai yang lalu yang menjemput Zaharudin Mohamad antara tujuan khususnya ialah membicarakan berkenaan isu pimpinan yang berotak Liberal dalam PAS.

Ekoran dari program itu maka keluarlah 'mesej' melalui 'wassup' Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang yang antara lainnya berbunyi seperti berikut:

“wujudnya ajk pusat dan ahli pas yg berfikiran Islam liberal yg sangat membahayakan jamaah dan seterusnya meruntuhkannya. Maka ana mencadangkan mereka yg ana senaraikan ini tidak dipilih menjadi ajk pas pusat pada pemilihan akan datang...

1) Khalid Samad
2) Dr Zulkifli Ahmad
3) Hanifa Maidin
4) Mujahid Rawa
5) Husam Musa

*USTAZ SHAHRIL AZMAN (PAHANG)”

Jelas mesej ini amat biadap yang keluar dari seorang pemimpin tertinggi Pemuda yang sebenarnya ramai akur beliau sendiri mempunyai masalah dan perangai yang 'memeningkan' banyak pihak dan di tambah pula dengan perkara terbaru ini.

Umum sedia maklum adanya pertikaian dan perselisihan antara golongan yang di labelkan ulamak dan yang di gelar professional.

Untuk memudahkan pemahaman Tok Guru, Pemuda Pas seperti Nasrudin Hasan, Nik Abduh, Zaharudin dan beberapa lagi ada lah dari kumpulan yang di gelar Ulamak manakala Khalid Samad, Mujahid, Husam dan Hanifa mewakili gelaran professional.

Hebatnya Shahril Azman ini mendahului muktamar dengan menghina dan menghukum 5 orang di atas sebagai Liberal yang berfahaman salah yang patut di singkirkan dalam muktamar nanti!

Hantu apa yang merasuk kepala hotak beliau di kala iblis dan syaitan semua di rantai pada bulan mulia ini?

Ringkasnya saya merayu agar Tok Guru campur tangan dalam isu ini. Pencerahan wajib di buat sebelum muktamar bermula.

Dua-dua pihak ini wajib di panggil mengadap dan bersemuka di depan Tok Guru. Siapa saja yang silap wajib mengakui kepada umum kesilapan mereka dan wajar berundur segera demi kebaikan jemaah.

Kita tidak lupa ketegasan Tuan Guru dalam menentang kerjasama dengan BN sedangkan kumpulanyang di gelar ulamak ini ramai yang bersetuju dengan idea ‘kerajaan perpaduan’ tempohari.

Ironinya kumpulan professional ini secara total menentang agenda kerajaan perpaduan yang sememangnya jahat dan begitu di tagih oleh Nasarudin Mat Isa juga amat rapat dengan Nasrudin Hasan.

Apakah benar kumpulan professional berniat untuk menjatuhkan presiden? Ianya wajib di siasat secara mendalam. Kalau benar, kenapa? Kalau bukan, apa motifnya mereka di tuduh begitu?

Begitu juga dengan kumpulan yang di gelar Ulamak. Mereka secara konsisten terutama Nasrudin Hasan dan Nik Abduh menyerang kumpulan professional terutama Husam pada muktamar beberapa tahun yang lalu lagi. Mengapa mereka bertindak sedemikian?

Adakah kerana isu peribadi Nik Abduh di Kelantan yang mewakili kem yang tidak sehaluan dengan Husam berlanjutan sampai ke peringkat PAS Pusat? Biarpun Nik Abduh mewakili kumpulan Ulamak tetapi cara hidup dan personality beliau jauh kebelakang berbanding Husam yang bukan ulamak.

Nik Abduh mengamalkan cara hidup mewah berbanding Husam apatah lagi Tuan Guru. Mujur UMNO tidak terbau isu pembelian haratanah secara tunai oleh beliau tempohari, sekiranya benar.

Nasrudin Hasan pun tidak kurang hebatnya. Beliau tampak hebat berceramah tetapi setakat itu sahajalah, tanyalah pada mereka yang rapat dan yang tinggal berdekatan kediaman dan tempat beliau pernah tinggal.

Beliau juga di maklumkan ada menerima sumbangan kewangan dari kontraktor yang terlibat dengan LYnas, satu projek yang di tentang oleh PAS.

Justeru itu, tidak kiralah dari kalangan ulamak mahupun professional, siapa yang bersalah atau mempunyai niat yang serong terhadap kumpulkan yang satu lagi tanpa asas sebenar wajib di rehatkan, kalau perlu singkirkan sahaja selepas di dengar penjelasan mereka dan di beri keadilan sewajarnya.

PAS memerlukan professional yang hebat tetapi bukan yang memandai-mandai dan membelakang Jemaah dan perjuangan.

PAS menghormati ulamak tetapi bukan ulamak yang hanya pada nama dan gagal berfungsi dalam mendepani masyarakat dan isu.

Semoga ini merupakan jasa yang paling besar yang boleh Tuan Guru mainkan selepas di turunkan dari jawatan oleh mereka-mereka juga yang berkepentingan. – 29 Julai, 2013.

* Mohamad Abdullah merupakan Ahli PAS Seumur Hidup.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Sunday, July 28, 2013

Ulasan Ketua Pemuda berkenaan Kehebatan Anak & Menantu dalam PAS

Nasrudin Hassan
1. Sebentar tadi saya menerima e -mail dari seorang rakan yang merujuk saya kepada artikel bertajuk "Kebangkitan Pengaruh Menantu, Kali ini dalam PAS" oleh Amin Iskandar seorang pengarang berita di portal The Malaysian Insider.
2. Saya melihat artikel itu sarat dengan spekulasi yang mencetus fitnah. Ia dilihat sengaja dicetus untuk membantu pihak yang mahu menjatuhkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang lalu merosakkan kredebiliti ulama' tersohor yang kini sedang menerajui kepimpinan PAS. [Sebab itu gambar Tuan Guru Hj Abdul Hadi menjadi penghias artikel dan nama Tuan Guru juga di serlahkan dengan ketara.] Saya memilih untuk respon artikel itu kerana nama saya turut diseret dalam spekulasi yang menumbuhkan fitnah rekaan pengarangnya.
3. Tiba - tiba sahaja nama Al Fadhil Ustaz Zaharudin Mohamad menjadi hit dan diperkenalkan kepada umum sebagai menantu kepada Tuan Guru Presiden PAS, sedang menurut perspektif saya bahawa Ustaz Zaharudin Mohamad adalah seorang yang sangat low profile, justeru itu ia tidak dikenali umum sebelum daripada ini. Bahkan bukan beliau sahaja yang berstatus menantu kepada pemimpin utama jamaah PAS malah ramai lagi yang pernah berstatus menantu kepada pemimpin utamanya sebelum ini malah ada yang berstatus anak kepada pemimpin utama. [saya tidak perlu menyenaraikannya]

4. Secara umumnya, semua bapa dan mertua akan berbangga dengan kehebatan anak dan menantu mereka. Sementelah anak dan menantu mereka aktif memperjuangkan Islam bersama jamaah. Malah menjadi idaman setiap bapa dan mertua yang berjuang menegakkan Islam untuk memiliki anak dan menantu yang hebat serta mempunyai karisma kepimpinan yang hebat juga dalam perjuangan suci ini.
5. Tambahan pula Islam tidak memandang salah pertalian anak dan menantu yang turut berintima' dalam Gerakan Islam lantas bergandingan dengan seluruh anggota jamaah yang lain untuk memperjuangkan Islam. Saidina Ali Karramallahu Wajhah antara contoh menantu Nabi saw yang sangat hebat dalam sejarah Islam, berjuang dan mengisi saff kepimpinan ummah di belakang Nabi saw. Sebagaimana Saidina Abu Bakar As Siddiq Rha sebagai bapa mertua Nabi saw. yang juga hebat berjuang dan mempertahankan Nabi saw. [ Malah kesemua sahabat Khulafa' Ar Rasyidin mempunyai hubungan mertua dan menantu dengan Nabi saw. dan menduduki posisi kepimpinan utama sejak zaman hidupnya Nabi saw. ]
6. Perkara yang menjadi kesalahan ialah apabila berlaku penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa dan ini perlu dibuktikan apabila berlaku dakwaan. Bukan sahaja anak dan menantu, malah mereka yang tidak berbau bacang pun, jika melakukan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa mestilah dibuktikan apabila terdapat dakwaan dan jika sabit kes maka tindakan sewajarnya mesti diambil.
7. Pengarang artikel kebangkitan pengaruh menantu ini cuba mengaitkan Ustaz Zaharudin Mohamad seperti Khairy Jamaludin dalam UMNO yang kononnya menjadi faktor kejatuhan pemerintahan Pak Lah Badawi. Teori konspirasi itu berlaku dan digerak kuat oleh Tun Dr. Mahathir untuk menjatuhkan Pak Lah dengan memukul Khairy habis - habisan bagi membantu Najib menaiki takhta pucuk kepimpinan BN. Akhirnya Pak Lah terpaksa mengalah dan berundur lalu menyerahkan kuasa kepada Najib. Ironinya, apabila Najib berkuasa dan mendapat mandat baru melalui pilihanraya ke 13 sebagai Perdana Menteri Malaysia, Khairy kini dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan.
8. Ertinya kejatuhan Pak Lah adalah faktor kelemahan dirinya sendiri dan Khairy bukanlah sasaran sebenar. Realiti ini dapat dilihat sejak awal selepas peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib, Khairy tidak lagi menjadi papan sasar mana - mana pihak dalam UMNO mahupun dari pihak Tun Mahathir sendiri. Kerana matlamat utama mereka hanya mahu menjatuhkan Pak Lah dan Pak Lah sudah jatuh. Maka tidak mengapa Khairy terus mengukuhkan penguasaan dan kedudukan politiknya dalam UMNO dan BN.
9. Jika teori konspirasi ini diguna dan dimaksudkan oleh Amin Iskandar sebagai main point dalam artikel Kebangkitan Pengaruh Menantu, ertinya Ustaz Zaharudin Mohamad bukanlah sasaran utama tetapi sebaliknya Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS sebagai sasaran mereka. Persoalannya siapakah yang menyasarkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi ?
10. Saya tidak percaya Tuan Guru Hj Abdul Hadi lemah sebagaimana Pak Lah walaupun telah wujud sebelum ini percubaan yang dilakukan oleh individu tertentu untuk melabelkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi adalah Pak Lah versi PAS. Sekali lagi saya kira tiada ahli PAS yang celik Gerakan Islam percaya dan menerima label yang diberi sedemikian rupa. Sebab itu percubaan tersebut bukan sahaja gagal tetapi terus lenyap ditelan jerebu yang melanda negara.
11. Apabila timbul isu kebangkitan pengaruh menantu ini dan percubaan menyamakan ustaz Zaharudin Mohamad seperti Khairy dalam UMNO membuatkan saya tertanya - tanya dan tercari - cari siapa yang berperanan sebagai Tun Mahathir untuk memukul Ustaz Zaharudin seperti Tun Mahathir pukul Khairy dahulu ? dan siapa pula yang akan mengambil tempat Datuk Seri Najib untuk dinaikkan kalau mereka berjaya menjatuhkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi kelak ?
12. Saya berdoa dan bermunajat kepada Allah swt agar jamaah ini dipelihara olehNya dari musibah dan porak peranda sedemikian rupa. Semoga mereka yang membangkitkan fitnah dan meniup segarkan fitnah itu dikurniakan petunjuk oleh Allah swt. Saya menafikan setiap spekulasi yang dikemukakan oleh Amin Iskandar dalam artikelnya dan ia adalah satu tanggapan salah jua merupakan satu fitnah.
13. Saya mengharapkan beliau menarik balik spekulasi yang beliau kemukakan kerana ia tidak berasas. Saya tidak tahu siapa yang salurkan maklumat sedemikian kepada beliau sedang beliau bukanlah pimpinan PAS yang boleh akses maklumat dalaman jamaah. Jika itu maklumat dipungut dari jalur internet atau ada individu tertentu yang salurkan maklumat kepada beliau, sekali lagi saya nafikan bahawa ia adalah suatu yang benar sebaliknya ia adalah salah jua tohmahan dan jika Amin Iskandar ingin meneruskan spekulasinya, beliau boleh dan mesti mengemukakan bukti. Jika tidak, ia kekal sebagai fitnah.
Nasrudin bin Hassan

Saturday, July 27, 2013

Kebangkitan pengaruh menantu, kali ini dalam PAS

Oleh Amin Iskandar, Pengarang Berita
July 27, 2013
 
Sebelum Pilihan Raya 2013, nama Zaharudin Muhammad, menantu kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) tidak begitu dikenali oleh masyarakat umum kecuali bagi mereka yang aktif dalam PAS.
Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Syura Ulama PAS pada 2011 dan sebagai Ketua Jabatan Agama di syarikat milik kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad pada 2012.
Zaharudin dikatakan akan memainkan peranan besar dalam pemilihan PAS akhir tahun ini dimana terdapat gerakan untuk menyingkirkan golongan profesional atau “Erdogan” – sempena nama Perdana Menteri Turki Recep Tayyib Erdogan daripada kepimpinan tertinggi parti Islam itu untuk digantikan dengan golongan ulama.

Golongan profesional yang diketuai oleh Timbalan Presiden Mohamad Sabu mempunyai satu kekurangan oleh kerana hampir semua kalah dalam Pilihan Raya 2013 lalu.
Selain Mohamad yang kalah di kerusi Parlimen Pendang, Salahuddin Ayub tewas dikedua-dua kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya. Datuk Husam Musa kalah di kerusi Parlimen Putrajaya tetapi menang di kerusi DUN Salor.
Bagaimanapun, Husam tidak dilantik semula sebagai Exco kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar baru Datuk Ahmad Yakob. Dr Dzulkefly Ahmad pula kalah di Parlimen Kuala Selangor.
"Ini memberikan peluang besar kepada Zaharudin dan golongan yang tidak gembira dengan penguasaan profesional dalam PAS untuk menang," kata satu sumber dari kepimpinan tertinggi PAS kepada The Malaysian Insider.
“Tambahan lagi sekutu Zaharudin seperti Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan dan timbalannya Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz kedua-duanya menang di kerusi Parlimen Temerloh dan Pasir Mas. Nasrudin dikatakan terhutang budi dengan Zaharudin oleh kerana usahanya melobi Abdul Hadi agar membuat pengumuman “mengejut” pencalonannya di kerusi Temerloh yang sebelum itu milik calon PKR Ahmad Nizam Hamid," katanya.
Isu Kota Damansara
Zaharudin yang dikenali sebagai Din Ayam itu disalahkan kerana kerusi DUN Kota Damansara - sebelum ini disandang oleh Dr Nasir Hashim pada Pilihan Raya 2008 jatuh ke Barisan Nasional (BN) apabila PAS turut sama bertanding melawan calon PKR, Umno dan tiga lagi calon bebas.
Hasilnya calon BN, Halimaton Saadiah mendapat 16,387 undi dan menang dengan majoriti 1527 undi di Kota Damansara mengalahkan kesemua calon yang bertanding.
Jika dihitung undi yang diterima oleh Nasir 14,860 dan calon PAS Rizuan Ismail 7312, dengan mudah calon PR boleh menang besar dengan 22,172 undi.
Sumber dalaman PAS Selangor memberitahu The Malaysian Insider Zaharudin menggunakan latarbelakang sosialis Nasir sebagai alasan untuk mempengaruhi Abdul Hadi menandatangani watikah Rizuan walaupun Datuk Mustafa Ali yang mengepalai PAS dalam rundingan kerusi antara parti PR sudah bersetuju Presiden PSM itu sebagai calon Kota Damansara dengan menggunakan tiket PKR.
“Bila Nasir menang atas tiket PKR pada 2008, Zaharudin yang menetap di seksyen 8 Kota Damansara tak berpuas hati. Katanya Nasir tidak cukup Islam, tidak selalu di masjid dan memuja Karl Marx, Vladimir Lenin dan Joseph Stalin yang merupakan tokoh-tokoh komunis,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider dengan syarat namanya dirahsiakan.
“Mustafa Ali terpaksa turun ke Kota Damansara berceramah bersama Dr Nasir untuk jelaskan kedudukan sebenar kepada orang ramai akan tetapi program itu diboikot oleh PAS kawasan,” tambah beliau merujuk kepada Setiausaha Agung PAS.
Semasa kempen Pilihan Raya 2013, Abdul Hadi menyelar calon PKR yang dikatakan bermahzab sosialis walaupun tidak menamakannya secara terbuka.
“Ada calon yang menjulang gambar Lenin, gambar Stalin. Macam mana orang PAS nak sokong?
“Orang PAS kerjasama dengan Keadilan … dengan DAP je. Tak kerjasama dengan parti Lenin, parti Stalin,” kata beliau merujuk kepada pemimpin komunis Rusia, Vladimir Ilyich Lenin dan Joseph Stalin dalam sebuah klip video di Youtube.
Abdullah-Khairy
Isu Zaharudin ini mengingatkan kita tentang kisah bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi yang dikatakan dipengaruhi dengan kuat dalam pelbagai perkara oleh menantunya, Khairy Jamaluddin semasa memimpin Malaysia.
Khairy disalahkan oleh pembesar-pembesar Umno yang rapat dengan seorang lagi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana dikatakan menjadi punca BN gagal mengekalkan majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen pada Pilihan Raya 2008 dan kehilangan penguasaan terhadap beberapa negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah selain gagal merampas Kelantan.
Akibatnya, Abdullah terpaksa bersara lebih awal pada 3 April 2009 untuk memberikan laluan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikannya.
Abdullah kini sudah bersara daripada politik Malaysia akan tetapi Khairy masih bertapak sebagai Ketua Pemuda Umno dan dilantik sebagai menteri belia dan sukan selepas Pilihan Raya 2013.
Pilihan Raya 2013 juga menyaksikan keputusan merosot PAS apabila hanya mendapat 21 kerusi Parlimen berbanding 23 yang mereka perolehi pada 2008. Rakan-rakan PR lain DAP dan PKR masing-masing mendapat 38 dan 30 kerusi pada 5 Mei lalu.
Negeri Kedah yang dikuasai PAS pada 2008 juga tumbang pada 2013 dan kedegilan Abdul Hadi yang tidak mahu menggantikan Tan Sri Azizan Razak dengan nama lain sebagai calon menteri besar negeri jelapang padi itu dikatakan menjadi penyumbang utama kekalahan.
Apakah isu menantu Abdul Hadi ini akan turut menjadi punca kejatuhan Ahli Parlimen Marang itu?
Setakat ini masih belum nampak kerana kuatnya pengaruh Abdul Hadi yang dianggap sebagai ulama berpengaruh dalam parti Islam itu. - 27 Julai, 2013.